MOSCOW: Seorang wanita yang menjalani hukuman penjara selama 13 tahun atas kesalahan mengedar dadah, dinobatkan pemenang pertandingan ratu cantik di sebuah penjara di Rusia, baru-baru ini. Irina Ayupova, 36, menjadi pemenang acara tahunan yang diadakan buat kali ketiga di penjara wanita yang terletak di bandar Yoshkar-Ola dekat wilayah tengah Mari El Republic. Antara banduan wanita yang bertanding merupakan pesalah kes dadah, pencuri dan perompak. Menurut portal Mirror, seramai lapan peserta terlibat dalam pertandingan itu dan mereka perlu melakukan aksi catwalk sambil disaksikan pengawal penjara yang bertugas sebagai hakim. Kemudian mereka perlu menari untuk pusingan kedua sebelum bersaing meniru impresi selebriti terkemuka Rusia. Pusingan terakhir menyaksikan peserta perlu berjalan di atas pentas dengan kostum khas yang dibuat sendiri mengikut tema ekologi. Ayupova yang akan dibebaskan pada 2028, akhirnya dinobatkan sebagai juara dan menerima 101 kuntum bunga ros, mahkota dan peralatan solek sebagai hadiah. Setiap banduan yang bertanding dibenarkan berlatih selama dua bulan serta boleh mendapatkan khidmat pendadan rambut dan jurusolek profesional pada hari pertandingan.