WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) akan mengetatkan sekatan ke atas Korea Utara dan meningkatkan langkah diplomatik bertujuan untuk memberi tekanan kepada negara itu seterusnya menamatkan program nuklear serta peluru berpandu. Strategi itu diumumkan Presiden Donald Trump selepas taklimat ringkas untuk semua 100 senator AS. Menurut kenyataan bersama dikeluarkan Setiausaha Negara, Rex Tillerson, Setiausaha Pertahanan, Jim Mattis dan Pengarah Perisikan Negara, Dan Coats, Washington ingin mencari kestabilan serta keamanan menghapuskan nuklear di Semenanjung Korea. "Kami membuka peluang untuk rundingan ke arah matlamat tersebut. Bagaimanapun, kami tetap bersedia untuk mempertahankan diri dan sekutu. "Pendekatan presiden bertujuan memberi tekanan kepada Pyongyang untuk menghentikan nuklear dan misil balistik dengan mengetatkan sekatan ekonomi serta meneruskan langkah diplomatik dengan sekutu kami dan rakan serantau," menurut kenyataan itu. Dalam perkembangan berkaitan, tentera udara AS telah melancarkan ujian peluru berpandu balistik yang mampu membawa kepala peledak nuklear. Misil Minuteman III dilancarkan dari Pangkalan Tentera Udara Vandenberg, kira-kira 209 kilometer di barat laut Los Angeles, California, pada jam 12.03 minit tengah malam (waktu tempatan) dan berjaya mencapai sasaran berhampiran Kwajalein Atoll di Pulau Marshall. Difahamkan, ujian dilancarkan untuk menilai keberkesanan, kesediaan dan ketepatan sistem peluru berpandu. - Sinar Harian