suria

Lima Pekerja Stesen Minyak Jadi Wira

BEIJING: Lima pekerja di sebuah stesen minyak di barat daya China wajar dipuji di atas tindakan pantas mereka kerana mengelakkan bencana berlaku susulan sebuah motosikal terbakar di premis itu.

Menurut laporan penyiar CCTV, kejadian pada pagi 4 Mei lalu menunjukkan seorang lelaki menyalakan api menggunakan pemetik api selepas mengisi minyak di stesen minyak di Yibin, wilayah Sichuan.

Seorang pekerja yang berdiri berhampiran cuba untuk mengelakkan kebakaran berlaku dengan menggunakan pemadam api.

Pada masa sama, penunggang motosikal tersebut menolak motosikalnya ke tepi sehingga mencetuskan kebakaran secara tiba-tiba.

Menurut laporan, penunggang motosikal yang hanya dikenali sebagai Yan, 42, bertindak melompat ke arah kebakaran tetapi kemudiannya ditarik keluar oleh pengurus stesen, Qiu Chunchu.

Sementara itu, pekerja lain pula cuba mengawal kebakaran menggunakan pemadam api, menghubungi polis dan menutup kawasan tersebut demi keselamatan.

Qiu kemudian menarik motosikal menjauhi pam petrol bagi mengelakkan letupan lebih besar berlaku.

Dia bagaimanapun melecur di tangan kiri dan dahi.

Kebakaran akhirnya berjaya dipadamkan selepas empat minit dan Yan ditahan polis.

Minggu lalu, Sinopec, firma yang memiliki stesen minyak berkenaan memberi ganjaran berupa wang tunai berjumlah 65,000 yuan (AS$9,500) kepada lima pekerja terbabit. - South China Morning Post

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain