suria

Liga Bola Sepak Honduras Bertukar Tragedi

PERLAWANAN bola sepak di sebuah stadium di Honduras bertukar tragedi apabila sekurang-kurangnya empat maut, manakala 15 yang lain cedera dalam kejadian rempuhan pada Ahad.

Ribuan peminat membanjiri stadium berasak-asak masuk ke Stadium Nasional di Tegucigalpa yang boleh memuatkan 35,000 tempat duduk itu.

Perlawanan liga antara Motagua dan Honduras Progreso itu menarik perhatian ramai hingga tiket habis dijual.

Jurucakap hospital, Miguel Osorio berkata, pihak polis terpaksa melepaskan gas pemedih mata ke arah orang ramai di kawasan stadium itu.

"Mangsa yang meninggal dunia akibat dipijak ketika berasak-asak masuk ke stadium, dua daripadanya meninggal dunia di lokasi," katanya.

Stadium itu sesak kerana jualan tiket tidak setara jumlah tempat duduk yang ada, selain ia antara perlawanan menjelang berakhirnya musim liga kali ini, kata jurucakap polis Luis Barahona.


Honduras, Motagua

Artikel Sebelum

Artikel Lain