ANKARA: Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan menggesa krisis diplomatik di antara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang menyaksikan beberapa negara Arab bertindak memutuskan hubungan dengan Qatar atas faktor keselamatan, diselesaikan menerusi dialog dan rundingan, lapor agensi berita Turki Anadolu (AA). Arab Saudi, Mesir, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain dan Yaman pada Isnin lalu memutuskan hubungan diplomatik mereka dengan Qatar, perselisihan paling buruk di kalangan negara-negara Arab sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Jurucakap Presiden Ibrahim Kalin dalam satu kenyataan berkata negara-negara anggota GCC yang turut memiliki perikatan perniagaan strategik dengan Turki, perlu menyelesaikan pertikaian mereka menerusi rundingan, dialog dan komunikasi. Beliau berkata Erdogan juga telah mengambil inisiatif menggunakan saluran diplomatik untuk meredakan ketegangan, dan menegaskan Turki sedih dengan apa yang berlaku. Katanya Turki juga bersedia untuk membantu sekiranya diperlukan. Menurut sumber yang rapat dengan presiden, Erdogan telah membuat panggilan telefon kepada Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani, Presiden Rusia Vladimir Putin, Emir Kuwait Sheikh Sabah Al-Ahmad Al-Jaber Al-Sabah, dan Raja Arab Saudi Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud.-Bernama