suria

Paksa Penumpang Merangkak Naik Tangga Pesawat

Gambar fail pesawat Vanilla Air, Airbus A320.

TOKYO: Syarikat penerbangan tambang murah di Jepun memohon maaf kerana membiarkan seorang penumpangnya merangkak ketika menaiki tangga pesawat milik mereka.

Hideto Kijima, 44, menaiki pesawat terbabit untuk pulang ke Osaka selepas percutiannya di sebuah kepulauan kecil, Amami.

Namun krew penerbangan Vanilla Air memberitahu bahawa peraturan syarikat melarang sesiapa sahaja daripada membantunya ketika menaiki tangga pesawat.

Lapangan terbang di situ tiada menyediakan lif untuk penumpang-penumpang kelainan upaya dari landasan menuju ke pintu pesawat.

Kijima yang mengalami lumpuh dari paras pinggang hingga ke bawah memberitahu dalam blognya bahawa dia terpaksa merangkak menggunakan tangan ketika menaiki tangga.

Akhbar Asahi melaporkan bahawa lelaki tersebut terpaksa memanjat (menggunakan tangan) lebih kurang 17 langkah.

Dalam pada itu, Vanilla Air yang menjadi pengangkutan udara bajet utama meminta maaf berkaitan insiden tersebut.

"Kami meminta maaf kerana membuatnya sukar," jelas jurucakap syarikat kepada AFP.

Kijima yang selalu melancong ke luar Jepun memberitahu kepada Nippon TV pada Rabu bahawa dia sangat terkejut apabila kakitangan syarikat itu berkata kepadanya kemungkinan tidak boleh terbang jika tidak mampu menaiki tangga.

"Saya tertanya-tanya jika pekerja syarikat itu tidak fikir ianya adalah satu kesalahan," tambahnya.

Vanilla Air

Artikel Lain