MARAWI: Jumlah orang awam yang terkorban dalam pertempuran yang tercetus di bandar ini dijangka meningkat ketika tentera menawan lebih banyak kawasan. Amaran itu dibuat pihak tentera susulan penemuan lima mayat penduduk setempat dalam keadaan kepala mereka dipenggal di kawasan yang dikuasai pemberontak Maute dan militan Daesh di bandar ini. Penemuan lima daripada 17 mayat itu adalah bukti pertama orang awam yang terperangkap di bandar berkenaan dipenggal militan seperti yang dilaporkan penduduk yang berjaya menyelamatkan diri. Jurucakap Pemerintah Mindanao Barat, Emmanuel Garcia dalam mesejnya kepada wartawan memaklumkan, lima mayat yang dipenggal itu ditemui bersama 17 orang awam yang dibunuh militan. Bagaimanapun, Garcia tidak mendedahkan lebih lanjut mengenai penemuan itu, termasuk bila ia ditemui. Perang bagi merampas semula Marawi masuk hari ke-36 pada Rabu dengan pertempuran sengit masih tercetus di pusat bandar. Pemberontak Maute yang dibantu militan Daesh masih menguasai sebahagian kecil bandar berkenaan. Menurut pihak tentera, seramai 71 anggota keselamatan, 44 orang awam dan 299 militan terbunuh dalam peperangan itu.- Reuters