suria

Daesh Makin Lemah Di Mosul

Pasukan polis Iraq meraikan kejayaan menewaskan militan Daesh sebelum kerajaan mengumumkan pencapaian itu.

MOSUL: Tentera Iraq semakin hampir menguasai sepenuhnya apabila berjaya meruntuhkan pertahanan terakhir Daesh di bandar yang menjadi ibu negara pemerintahan khalifah kumpulan militan itu.

Puluhan askar Iraq meraikan kejayaan itu berhampiran runtuhan bangunan di tebing Sungai Tigris tanpa menunggu pengumuman kemenangan rasmi oleh kerajaan.

Askar dilihat menari mengikut irama muzik yang dimainkan menerusi sebuah trak dan melepaskan tembakan ke udara.

Walaupun askar Iraq berpesta tetapi sejuta penduduk Mosul yang menjadi pelarian akibat peperangan itu masih sangsi dengan nasib mereka.

“Sekiranya tiada pembinaan semula dan penduduk tidak kembali ke kediaman masing-masing, apakah makna kemenangan itu?” soal penduduk, Mohammed Haji Ahmed, 43, yang kini tinggal di kem pelarian di timur Mosul.

Sebuah stesen televisyen Iraq berkata, tentera negara itu bakal mengumumkan kemenangan menawan Mosul pada bila-bila masa.

“Askar Iraq kini cuba menguasai beberapa meter terakhir Mosul dan selepas itu kemenangan diumumkan.

“Kini tinggal beberapa jam sahaja,” katanya.

Mosul adalah bandar terbesar di Iraq yang ditawan militan Daish yang pernah menguasai sebahagian besar negara itu pada 2014.

Komander tentera memberitahu, askar kini bertempur dari rumah ke rumah dengan militan Daish yang berlindung di kawasan kejiranan yang padat.

Berpuluh-puluh militan termasuk warga asing terbunuh semalam dan sebahagian lagi cuba melarikan diri dengan berenang menyeberangi Sungai Tigris.

“Pertempuran kini memasuki fasa memburu saki-baki militan. Ramai militan juga menyerah diri,” kata tentera Iraq dalam satu kenyataan.- Reuters

Mosul, Daesh

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Tiga Cedera Dirodok Lembu

Artikel Lain