ULAN BATOR: Bekas juara dunia seni mempertahankan diri, Sambo diumumkan memenangi pilihan raya Presiden Mongolia. Khaltmaa Battulga yang juga ahli perniagaan terkemuka itu adalah calon pembangkang dari Parti Demokratik. Berusia 54 tahun, beliau meraih 50.6 peratus undi, jauh meninggalkan lawannya yang juga Speaker Parlimen Mongolia, Mieygombo Enkhbold dari Parti Rakyat Mongolia (MPP). Battulga ketika bertemu penyokong di Dataran Kemerdekaan Ulan Bator berkata, beliau akan memastikan kerajaan melaksanakan semua misi yang dirancang sebelum ini. "Saya akan memulakan tugas serta merta bagi menyelesaikan semua kemelut kewangan dan menjadikan Mongolia sebuah negara bebas hutang seperti yang saya janjikan sebelum ini," katanya. Presiden baru itu akan mewarisi bantuan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) berjumlah ASD5.5 bilion (RM23.63 bilion) bagi membantu menstabilkan negara itu, sekali gus mengurangkan penggantungan terhadap kerajaan China yang membeli 80 peratus dari jumlah eksport Mongolia. - AFP