ANDREW Copley, menderita dan dibiarkan lapar selama 10 tahun sehingga terpaksa mengambil makanan tikus belanda dan anjing peliharaan keluargannya untuk meneruskan hidup. Lebih menyedihkan apabila individu yang menderanya dengan kejam iu adalah ibunya, Christine Copley, 66. Susulan tindakan tidak berperikemanusiaan itu, Christine dijatuhkan hukuman penjara selama tiga tahun pada April 2017 oleh hakim Erik Salomonsen, selepas didapati bersalah selepas disabitkan enam pertuduhan. Semasa perbicaraan, Mahkamah Exeter Crown mendapati pesalah mengurung anaknya di dalam gelap, menyebat dengan tali anjing dan memaksanya berdiri di luar rumah dalam keadaan bogel. “Pada saya, tiga tahun adalah tempoh hukuman yang pendek, tetapi ia tempoh yang panjang untuk membuktikan saya bercakap benar. “Saya tidak panggil dia ibu, saya panggil dia Christine kerana tiada ibu yang sanggup melakukan perkara yang kejam terhadap anaknya,” kata pemuda berusia 38 tahun itu. Andrew hanya bahagia ketika bersama dengan datuk dan neneknya. Layanan mereka sangat baik berbanding layanan Christine terhadapnya sejak kecil selepas ibu bapanya berpisah. “Sejak saya dilahirkan, dia tidak mahukan saya dan berharap saya mati ketika dilahirkan kerana inginkan anak perempuan. Sejak usia enam atau tujuh tahun, Andrew sudah biasa didera sehingga badannya menjadi kebal. Christine akan memasukkannya ke dalam mandian ais untuk mengurangkan kesan lebam. Ibunya juga menderanya secara mental dengan mengambil hadiah hari jadi dan Krismas yang diterimanya untuk dijual. “Saya sangat kurus kerana tidak diberi makan sehingga terpaksa meminta sisa makanan dari pelajar di sekolah atau makan makanan tikus belanda dan biskut anjing untuk meneruskan hidup. Apabila berusia 14 tahun, Christine mula meminta wangnya kerana ketika itu dia bekerja di pusat video. “Dia memukul saya dengan botol kaca kerana enggan memberi wang. Pada masa itu, saya tahu dia tidak akan berubah dan membuat keputusan untuk keluar rumah,” kata Andrew. Selepas bertahun-tahun, akhirnya Andrew melaporkan segala-galanya terhadap polis pada 2013. Jurucakap Majlis Perbandaran Devon berkata:“Ini adalah kes penderaan kanak-kanak yang teruk. Sejak 1980, terdapat penekanan dan fokus yang lebih besar terhadap perlindungan kanak-kanak oleh pihak berkuasa yang bertanggungjawab untuk melindungi mereka. “Sistem dan proses kini diperketatkan untuk mengenal pasti risiko penderaan, meningkatkan kesedaran menerusi agensi perkongsian, serta menawarkan campur tangan atau sokongan untuk mengelakkan individu dari risiko dan demi keselamatan kanak-kanak,” katanya.