suria

Belanda Tahan Suspek Kes Telur Tercemar Di Eropah

BRUSSELS: Penyiasat Belanda menahan dua suspek berhubung kes telur dicemari racun serangga yang sedang menular di timur Eropah susulan penemuan satu tan telur kuning tercemar di Romania.

Kegiatan yang dilakukan pihak tidak bertanggungjawab itu menyebabkan bekalan telur ditarik balik dari pasaran seluruh Eropah.

Kejadian sama telah dikesan di Luxembourg, manakala Britain berkata ia mengimport 700,000 telur dari ladang di Belanda dan timbul kebimbangan berlaku pencemaran fipronil.

Fipronil biasanya digunakan untuk menghapuskan hama dan kutu pada haiwan tetapi dilarang penggunaannya oleh Kesatuan Eropah dalam industri makanan.

Ia membahayakan buah pinggang manusia, hati dan kelenjar tiroid.

Setakat ini, dua negara yang menjadi tumpuan berkaitan kes ini adalah Belanda dan Belgium.

Dalam serbuan bersama Belgium, pendakwa raya Belanda berkata mereka menahan 'dua pengurus syarikat yang didakwa menggunakan bahan itu di ladang ternakan ayam' dengan media Belanda menamakan syarikat suspek sebagai Chickfriend.

Peladang di Belanda, antara pengeksport telur terbesar Eropah dan Belgium, sebelum ini mengenal pasti Chickfriend sebagai syarikat yang diupah merawat ayam mereka untuk memusnahkan parasit. - AFP

Belanda, Romania, fipronil

Artikel Sebelum

Artikel Lain