suria

Karya Hasil Gigih Ibu Jari Kaki

WESLEY Wee, dilahirkan dengan penyakit serebrum palsi menyebabkan dia tidak mampu mengawal pergerakan tangan dan kakinya.

Pemuda berusia 38 tahun ini juga tidak boleh berjalan sejak menjalani pembedahan ketika masih kecil.

Perjalanan hidupnya yang penuh dugaan mendorong Wee untuk menghasilkan sebuah buku berjudul ‘Finding Happiness Against The Odds’.

Naskhah sulung karyanya itu menjadi kenyataan selepas lima tahun bersusah payah menaip tiga ke empat jam setiap malam di iPad menggunakan ibu jari kaki kanannya.

Buku terbitan sendiri itu, mempunyai 68 helaian dan menggarap kisah hidup Wee yang dilahirkan dengan penyakit itu, selain tekanan hidup yang menyebabkan dia terdorong membunuh diri, dan bagaimana dia mengubah hidupnya ke arah yang lebih baik.

Karya ini akan dilancarkan di pejabat Google Singapura pada Rabu, manakala tempahan buku berharga S$20 (RM85.88) boleh dibuat menerusi dalam talian.

“Saya berharap buku ini dapat memberi sinar harapan pada mereka yang melalui kesusahan di dalam hidup.

"Menerusi kisah hidup saya, mereka dapat menghargai dan menyayangi orang kurang upaya, terutamanya di kalangan ahli keluarga,” katanya kepada The New Paper.

Aktiviti harian Wee setiap hari bermula dengan menjual tisu di Jalan Orchard berbekalkan kerusi rodannya.

Wee mengakui, disebabkan penyakitnya, zaman kanak-kanaknya dipenuhi dengan penderaan dan kebencian daripada ibu bapanya.

Pada 2007, dia cuba membunuh diri kerana tidak tahan dengan pelbagai situasi yang dilaluinya. Namun, apabila cubaannya  gagal, Wee mula bangkit untuk meneruskan hidup.

“Setiap kali saya hampir berputus asa, saya sentiasa memikirkan bahawa matahari akan bersinar selepas hujan,” katanya.

Pada 2010, Wee bertemu dengan Lorena Buan menerusi rakan mereka dan berkahwin dua tahun kemudian.

“Saya kagum dengan dirinya yang sentiasa ceria menjalani hidup. Walaupun pergerakannya terbatas, dia sentiasa gembira. Dia seorang yang bersemangat,” kata Buan, 47.

Dia sudah lama berharap ceritanya diterbitkan, tambah isteri Wee yang berbangsa Filipina.

“Dia berharap kisahnya dapat memberi inspirasi pada semua orang dan membuktikan, walaupun dia menempuhi pelbagai pengalaman pahit, tetapi dia tidak pernah berputus harapan,” katanya lagi.


Wesley Wee

Artikel Sebelum

Sucinya Hati Lelaki ini...

Artikel Berikut

Artikel Lain