NEW DELHI: Tiga beranak termasuk sepasang suami isteri dan anak mereka terbunuh apabila jambatan yang dibina untuk ke kampung seberang runtuh. Lebih menyayat hati, tiga beranak itu dirakam berpegangan tangan ketika cuba menyeberangi jambatan itu sambil membawa barangan keperluan. Difahamkan, hanya beberapa saat sebelum kejadian, keluarga lain sempat menyeberang dengan selamat ketika pemindahan dijalankan dalam kejadian di Bihar, utara India, yang bersempadan Nepal. Namun nasib tidak menyebelahi keluarga malang itu apabila jambatan berkenaan runtuh ketika mereka hanya beberapa meter dari kawasan selamat menyebabkan ketiga-tiganya terjatuh ke dalam sungai yang mengalir deras. Kejadian itu dirakam penduduk kampung dan tersebar di media sosial. Saksi berkata: “Orang ramai terpaksa melarikan diri apabila rumah mereka semakin dinaiki air dan jambatan itu satu-satunya laluan yang menghubungkan dua kampung kami. “Beberapa orang sempat melintasi sebelum itu, malangnya jambatan berkenaan tidak dapat bertahan ketika keluarga terbabit menyeberanginya. “Kami semua hanya mampu memandang apabila mereka bertiga dihanyutkan arus.” Menurut Times of India, sekurang-kurangnya 119 orang terbunuh akibat banjir dalam tempoh lima hari. Banjir di Bihar menjejaskan 9.3 juta orang, walaupun negeri lain di India berdepan kemarau teruk kerana kekurangan hujan.