PARIS: Pewaris syarikat kosmetik L'Oreal, Liliane Bettencourt, yang tersenarai sebagai antara wanita terkaya di dunia disahkan meninggal dunia pada usia 94 tahun. Anak perempuannya, Francoise Bettencourt Meyers dalam satu kenyataan berkata ibunya meninggal dalam keadaan tenang di kediamannya di Paris. Liliane adalah pemegang saham utama L'Oreal dan majalah Forbes melaporkan beliau adalah individu ke-14 terkaya di dunia. Pada Mac lalu, kekayaannya dianggarkan bernilai AS$39.5 bilion (RM165.82 bilion). Kelibatnya jarang kelihatan dalam khalayak sejak meninggalkan lembaga pengarah L'Oreal pada 2012. Namun, namanya kekal sebagai tajuk utama berita selepas beberapa pembantunya didakwa mengeksploitasi masalah kesihatan mental yang dihidapinya. Beliau diisytiharkan 'tidak sihat' untuk menguruskan dirinya pada 2011, susulan laporan kesihatan menunjukkan Bettencourt menghidap demensia dan Alzheimer sejak 2006. Liliane mula bekerja untuk L'Oreal ketika berusia 15 tahun sebagai perantis pelabelan botol bagi syampu keluaran syarikat itu. Sejak dari itu dia mula membina kedudukannya. Dia berkahwin dengan ahli politik Perancis, Andre Bettencourt pada 1950 dan dikurniakan seorang anak perempuan. Liliane mewarisi syarikat L'Oreal selepas bapanya meninggal dunia pada 1957 dan kekal menerajuinya selama lebih lima dekad.