BANGKOK: Polis di Koh Samui menahan seorang lelaki warga Amerika Syarikat (AS) yang dipercayai suspek pedofilia ketika membeli tiket feri untuk ke Bangkok. Ketua Pegawai Imigresen Surat Thani, Wanchana Borwornboon berkata, lelaki itu ditahan pada Sabtu di bawah waran tangkap AS dan surat kedutaan AS. Jackson Mathew Hall, 28, didakwa memasuki Thailand secara haram dengan menggunakan pasport dan identiti palsu. Hall memberitahu pegawai Imigresen bahawa dia telah berkahwin dengan wanita warga Thai dan memiliki seorang anak. Suspek cuba melarikan diri selepas mendapat tahu dia dikehendaki Interpol dan polis Thailand. Dia dipercayai bersembunyi di Koh Samui baru-baru ini. Dia ditahan di balai polis Koh Samui sementara menunggu dipindahkan ke Biro Imigresen di Bangkok untuk ekstradisi. Penahanannya dilakukan selepas media sosial Thailand menyebarkan amaran Friends of Women Foundation bahawa seorang pedofilia warga AS sedang bersembunyi di negara itu dengan menyamar sebagai guru bahasa Inggeris. Menurut portal berita AS, myStatesman, Hall dilaporkan berasal dari Alabama dan melarikan diri ke Thailand. Hall menjadi perhatian pihak berkuasa Thailand pada Mac lalu selepas seorang gadis yang dikenali sebagai Nittaya Polseepim dilaporkan hilang ketika berbual dengan seorang lelaki yang mendakwa dirinya sebagai Tyler Smith.