BEBERAPA hari lalu mereka tampil di khalayak ramai dengan bergandingan tangan dan terkini, Putera Harry tanpa segan silu mencium pipi kekasihnya, Meghan Markle. Pasangan itu menghadiri upacara penutup Kejohanan Sukan Invictus melibatkan veteran tentera yang dipelopori putera diraja Britain itu. Penampilan yang menarik perhatian ramai untuk kali kedua itu berlaku di Pusat Penerbangan Kanada Toronto pada Sabtu malam. Sebaik upacara bermula, mereka pada mulanya duduk berasingan sebelum Harry, 33 bangun untuk berjalan ke arah teman wanitanya untuk bersama-sama menyaksikan persembahan Bruce Springsteen. Meghan, 36 berada di ruang eksekutif sejak awal persembahan di stadium yang dapat menempatkan 19,800 penonton. Sebelum bertukar tempat, Harry duduk di sebelah Ella-Grace Trudeau yang berusia lapan tahun, anak Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau. Persembahan pada upacara penutup itu turut menyaksikan Mark Ormrod yang cacat pada kaki dan tangan ketika bertugas di Afghanistan pada 2007 diumumkan merangkul Anugerah Jaguar kerana pencapaiannya memenangi dua pingat perak berturut-turut.