LONDON: Kolej Universiti Oxford menurunkan potret Aung San Suu Kyi susulan kritikan meluas terhadap penerima Hadiah Nobel Keamanan berkenaan berhubung krisis Rohingya. Pemimpin Myanmar itu adalah bekas penuntut di pusat pengajian terkemuka dunia itu. Potret yang dipamerkan di pintu masuk utama Kolej St Hugh, kini disimpan dan digantikan dengan lukisan baharu Khamis lalu yang disumbangkan oleh artis Jepun, Yoshihiro Takada. Suu Kyi yang menuntut di St Hugh, menamatkan pengajian dalam bidang falsafah, politik dan ekonomi pada 1967 sebelum menamatkan pengajian peringkat sarjana dalam bidang politik pada 1968. "Kami menerima lukisan baharu pada awal bulan ini yang akan dipamerkan di pintu utama untuk tempoh tertentu," kata kolej itu dalam kenyataan yang dikeluarkan. Universiti berkenaan bagaimanapun tidak mengatakan sama ada ia ada kaitan dengan krisis yang sedang berterusan di negeri barat Rakhine, Myanmar. - AFP