LEBIH 92 peratus pengundi di wilayah kaya sumber minyak Kurdistan yang mempunyai populasi penduduk 5.2 juta orang telah mengundi 'ya' dalam referendum kemerdekaan yang berlangsung pada Isnin lalu walaupun dibantah banyak pihak. Keputusan itu diumumkan selepas Parlimen Iraq memberi kuasa kepada Perdana Menteri, Haider al-Abadi untuk menghantar pasukan tentera ke kawasan pertikaian yang menyaksikan ketegangan semakin meningkat sejak beberapa hari lalu. Presiden de facto wilayah Kurdistan, Masoud Barzani berharap dapat menggunakan sokongan kuat referendum itu untuk pengaruh politik yang dapat membantu dalam rundingan bagi mendapatkan kemerdekaan dari Iraq. Langkah tersebut telah meningkatkan permusuhan, prospek pengasingan dan sekatan. Beberapa pemimpin Iraq telah memberi amaran terhadap tindakan ketenteraan terutamanya mengenai nasib Kirkuk dan Parlimen meluluskan penggunaan kekerasan sebagai sebahagian daripada 13 perkara dalam resolusi yang mengutuk referendum tersebut. Amerika Syarikat dan Britain yang membantah pungutan suara itu menyifatkan ia sebagai 'sangat mengecewakan', namun telah melembutkan retorik mereka dalam usaha untuk memeterai perjanjian antara Erbil dan Baghdad. Kelmarin, kerajaan pusat turut 'menghukum' Kurdistan dengan menggantung penerbangan antarabangsa dari dan ke wilayah tersebut. Tentera Turki dan Iran juga telah mengambil bahagian dalam latihan ketenteraan bersama berhampiran sempadan Kurdistan sejak awal minggu lalu sebagai respons terhadap proses pungutan suaratidak terikat tersebut.