TIGA pedati bakal membawa pasangan pengantin, Kahiyang Ayu dan Muhammad Bobby Afif Nasution serta keluarga masing-masing ke Graha Saba Buana, lokasi berlangsungnya upacara akad nikah pada Rabu di Surakarta, Jawa Tengah. Enam pasang kuda, masing-masing dua setiap pedati akan membawa Kahiyang dan keluarganya dari Lodji Grandrung, kediaman rasmi Datuk Bandar Surakarta FX Hadi Rudyatmo. Pedati seterusnya akan membawa Bobby serta ahli keluarganya yang juga Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi serta isteri, Iriana dari Hotel Alila Solo. Kenderaan khas itu disediakan Anwar Muhtadi, 76 yang menjalankan bisnes berkenaan di Surakarta. Anwar memiliki enam pedati, manakala dua lagi milik Jokowi dan dua lagi kereta kuda adalah kepunyaan pihak pentadbiran Surakarta. "Semua pedati akan dibawa kuda betina," kata Anwar. Kahiyang dan Bobby akan diarak dalam pedati bernilai Rp100 juta (AS$7,405) yang direka Gusti Bendara Pangeran Haryo Yudhaningrat. Beliau adalah adik kepada gabenor Yogyakarta dan sultan, Hamengkubuwono X. "Sebelum ini, kosnya Rp75 juta tetapi kini telah meningkat kepada Rp100 juta. Ia mengambil masa setahun untuk disiapkan," katanya. Beliau berkata, pedati Kahiyang dan Bobby pula akan dibawa kuda betina putih seperti mana yang diminta pasangan pengantin. Selain itu, katanya, 20 pengiring akan membantu memastikan pedati lancar ketika berarak membawa pengantin, manakala Anwar sendiri akan mengendalikan kereta kuda kedua mempelai itu.