suria

Imej Rumah Agam Suspek Kes Tembak Texas Tersebar

Pandangan atas rumah agam yang pernah didiami Kelley. - Reuters

SUSPEK kes tembak di sebuah gereja di Texas, Devin Kelley didakwa menetap di rumah agam yang dilengkapi kolam renang bersama keluarganya sebelum insiden yang mengorbankan 26 nyawa.

Pihak polis telah menggeledah kediaman di New Braunfels, Texas yang terletak kira-kira 56 kilometer (km) dari tempat kejadian.

Bagaimanapun, jumlah sebenar penghuni rumah agam tersebut tidak diketahui.

Bekas pegawai tentera udara itu turut menyebabkan bayi berusia 18 bulan maut ketika melepaskan tembakan rambang di gereja pembatisan di Sutherland Springs pada Ahad. Suspek meninggal dunia akibat luka tembakan.

Pasukan penyiasat percaya Kelley ada menghantar mesej berbaur ugutan kepada ibu mertuanya beberapa hari sebelum tragedi tersebut berlaku.

Wanita itu merupakan penganut yang setia mengunjungi gereja tersebut, namun tidak berada di tempat kejadian ketika insiden itu berlaku, menurut laporan Fox News.

Kelley sebelum ini sering memuat naik 'posting' tentang ateisme dan senapang miliknya, kata Reid Mosis yang pernah bersekolah di New Braunsfels bersama Kelley sejak gred enam hingga sembilan.

Mosis, 26, berkata, Kelley merupakan seorang yang sentiasa kesunyian.

Seorang penduduk setempat, Courtney Kleiber berkata, dia pernah rapat dengan Kelley ketika di sekolah menengah dan pemuda itu perlahan-lahan berubah daripada seorang yang 'normal' kepada lelaki yang beremosi dan mempunyai masalah kesihatan mental.

"Secara jujurnya, saya tidak terkejut perkara ini berlaku dan saya rasa sesiapa yang mengenalinya juga tidak terkejut," katanya.

Texas, Devin Kelley

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan