suria

11 Sebab Ramai Percaya Putera Harry Kahwin Dalam Masa Terdekat

-fotoAFP

BANYAK petunjuk dapat dikaitkan dengan desas-desus hubungan Putera Harry dan Meghan Markle yang akan berakhir dengan perkahwinan.

Media-media British melaporkan, petugas-petugas di istana telah diberi penerangan mengenai pertunangan pasangan itu menerusi satu pertemuan sulit.

Dikhabarkan, pasangan itu juga sedang merancang perkahwinan 'bukan tradisional', berbeza dengan perkahwinan diraja sebelum ini.

-foto Telegraph/REX/shutterstock

Menurut laporan itu lagi, Ratu Elizabeth juga dikatakan hadir dalam pertemuan tersebut dan semua telah dimaklumkan mengenai perancangan Harry dan Markle untuk melangsungkan perkahwinan diraja dengan cara mereka sendiri.

Satu sumber memberitahu Daily Star bahawa pasangan itu mungkin akan membuat pengumuman rasmi tidak lama lagi khususnya menjelang tahun baru.

"Mereka sudah bertunang," menurut sumber itu.

Putera Harry. -fotoAFP

Sumber itu juga mendedahkan Harry dan Markle sedang menguruskan beberapa perkara seperti pencarian rumah dan hal-hal lain.

Tambah sumber itu lagi, terpulang kepada pasangan itu bila mereka mahu mengumumkan perkara itu kerana mereka mahu melakukannya mengikut cara sendiri yang telah dipersetujui oleh ratu.

Setakat ini, Kensington Palace belum mengeluarkan apa-apa kenyataan rasmi berhubung hal ini.

Warga internet khususnya kecoh mengenai kononnya pasangan itu akan mengumumkan pertunangan mereka dalam masa terdekat.

Daily Mail menyenaraikan 11 sebab mengapa mereka percaya Harry, 33, dan Markle, 36, akan mengumumkan pertunangan mereka dalam masa terdekat.

-fotoAFP

1. Menerusi satu pendedahan di laman Facebook, Markle yang juga pelakon siri Suits dikatakan akan meninggalkan drama itu menjelang musim kelapan.

2. Markle sedang memindahkan anjing-anjingya ke London.

3. Penerima taruhan UK sudah berhenti menerima taruhan mengenai perkahwinan diraja untuk tahun 2018.

4. Beberapa buah van kelihatan di kediaman Markle di Toronto, dia dikatakan akan berpindah ke Istana Kensington untuk tinggal bersama Harry.

5. Orang atasan BBC juga mempunyai sumber memberitahu bahawa akan ada pengumuman dalam masa terdekat.

6. Markle dikatakan tidak menyambut hari Thanksgiving bersama keluarganya tahun ini seperti yang dilakukannya sebelum ini sebaliknya berangkat ke London.

7. Harry dikatakan telah berjumpa dengan bakal ibu mertuanya, Doria Ragland sewaktu berada di Toronto baru-baru ini dan bergambar bersama.

8. Markle dikatakan tekah menghadiri satu acara minum teh dengan Ratu Elizabeth 2.

9. Markle dikatakan sudah mempunyai keretanya sendiri di London. Begitu juga barangannya yang lain yang telah diterbangkan ke sana.

10. Tidak lama selepas mendarat di London, Markle dilihat pergi membeli-belah sakan dan melakukan rawatan wajah dan spa.

11. Carian di Google juga menunjukkan bahawa pasangan itu sudahpun bertunang sebenarnya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Berjalan Dengan Ular Berbisa!

Artikel Lain