suria

Samsung Bangunkan Bateri Cas 5 Kali Lebih Cepat

SEOUL: Samsung Electronics Co. membangunkan teknologi bateri yang menggunakan 'graphene' untuk meningkatkan keupayaan dan mempercepatkan proses pengecasan lima kali lebih cepat berbanding piawaian sedia ada, lapor agensi berita Korea Selatan Yonhap.

Samsung Advanced Institute of Technology berkata, bateri berasaskan 'graphene' akan mempunyai keupayaan lebih tinggi iaitu sebanyak 45 peratus berbanding model bateri yang berada di pasaran.

'Graphene', sejenis karbon yang ideal untuk digunakan pada bateri kerana ia boleh menggerakkan elektrik 140 kali lebih cepat berbanding silikon.

Menurut Samsung, bateri yang mengandungi 'graphene balls', mengambil masa 12 minit untuk dicas sepenuhnya, sementara bateri biasa selama sejam.

Memandangkan ia juga boleh mengekalkan kestabilan sehingga 60 darjah Celsius, bateri baharu itu boleh digunakan untuk kenderaan elektrik.

Pemerhati industri mendapati teknologi bateri litium-ion yang pertama kali dikomersialkan pada 1991 kini berdepan had dari segi kapasiti dan kelajuan pengecasan.

Justeru itu, pakar mendapati, penemuan tersebut bakal menempa kejayaan baharu dalam industri bateri global.

Samsung Advanced Institute of Technology berkata, permohonan mempatenkan penemuan baharu itu telah dihantar di Korea Selatan dan Amerika Syarikat.

-Bernama
Samsung, bateri

Artikel Sebelum

Berjalan Dengan Ular Berbisa!

Artikel Berikut

Cuci Mata Dengan Pisau Cukur

Artikel Lain