suria

Bas Dua Tingkat Jadi Rumah Gelandangan

PADA asalnya ia mahu dilupuskan sahaja. Namun, kini ia menjadi tempat perlindungan bagi golongan gelandangan.

Bas Stagecoach dua tingkat itu telah diubah suai menjadi kediaman yang boleh menempatkan 12 orang pada satu-satu masa.

Menariknya, bas tersebut turut dilengkapi dapur dan juga tandas.

"Ada individu yang mencadangkan idea ini kepada saya pada 2016. Saya sering memikirkan mengenainya. Pada Januari saya menyuarakan idea itu di media sosial. Ada sesiapa mahu tawarkan bas kepada saya?," kata Joanne Vines dari Lee-on-Solent.

Bahagian dapur yang sudah diubah suai.

Idea Joanne itu mendapat maklum balas positif apabila dia ditawarkan tiga buah bas.

Salah satu daripada diterima dari syarikat Stagecoach yang mendermakan bas dengan 72 tempat duduk berusia 20  tahun kepadanya.

Transformasi bas itu merupakan idea Joanne dan Sammy Barcroft untuk projek The Rucksack di mana mereka mengumpul barangan untuk golongan gelandangan.

Sebuah kolej di Portsmouth menawarkan untuk membuat katil kayu dua tingkat untuk bas itu.

Bas tersebut turut dilengkapi katil.

Sementara itu, sebuah persatuan perumahan tempatan pula mendermakan dapur, pemasangan eletrik dan saluran air paip.

Joanne dan Sammy membelanjakan hampir £6,000 (RM29,413) menerusi kutipan dana dan derma.

Kini, bas itu dianggarkan bernilai £25,000 (RM122,556).

Ia kini ditempatkan di sebuah gereja St Agatha di Portsmouth yang akan digunakan sepenuhnya bagi projek rumah perlindungan gelandangan.

Di United Kingdom, terdapat banyak bas yang digunakan untuk geladangan dalam usaha mengurangkan jumlah mereka yang tidur di jalanan.

Pada Ogos, yayasan gelandangan Crisis mendedahkan jumlah gelandangan akan bertambah menjelang 2041 sekiranya kerajaan tidak mengambil langkah drastik berhubung hal itu.

gelandangan, bas dua tingkat

Artikel Sebelum

Punca Penceraian Meghan Didedah

Artikel Berikut

Artikel Lain