NAIROBI: Sebuah pesawat Turkish Airlines terpaksa dilencongkan selepas seorang penumpang dilaporkan menerima mesej 'bom dalam pesawat'. Namun mesej itu sebenarnya ialah nama wifi yang digunakan salah seorang penumpang. Dalam kejadian pada Khamis itu, pesawat dari Nairobi ke Istanbul itu terpaksa melakukan pendaratan cemas di Khartoum, Sudan. Laporan Reuters menyebut selepas pemeriksaan, didapati tiada sebarang ancaman dikesan dan pesawat itu dibenarkan meneruskan perjalanan. Syarikat penerbangan itu juga mengesahkan wifi 'bom dalam pesawat' itu dikesan ketika penumpang berada di dalam pesawat. "Pakar kami yang membuat siasatan mendapati wifi itu dibuat dan dinamakan selepas penumpang itu menaiki pesawat. "Namun, tiada bahaya dikesan dan penerbangan diteruskan beberapa jam selepas itu," kata jurucakap penerbangan tersebut kepada Reuters. Syarikat penerbangan itu bagaimanapun tidak mendedahkan nama penumpang terbabit. Tiada sebarang maklumat sama ada penumpang itu ditahan atas kesalahan tersebut atau sebaliknya.