MEGHAN Markle sekali lagi menarik perhatian ramai dengan memakai pakaian berharga £56,000 dalam gambar pertunangan terbaru yang dikeluarkan oleh Istana Kensington. Ketika Putera Harry dilihat memakai sut biasa berwarna biru navy, bakal pengantin perempuannya memilih untuk mengenakan gaun rekaan Ralph & Russo. Pengkritik mempertikaikan pilihan mewah Markle, dengan ramai yang menjadikan Twitter sebagai tempat menyatakan kemarahan mereka. Markle dilihat memakai gaun mewah itu dalam dua daripada tiga gambar rasmi pertunangannya, manakala gambar ketiga menunjukkan dia memakai 'jumper' warna krim oleh Victoria Beckham. -fotoREUTERS Tidak mungkin bakal isteri Putera Harry itu akan membeli pakaian mahal itu sendiri, memandangkan pereka biasanya akan meminjamkan sampel pakaian mereka kepada selebriti sebagai pertukaran untuk publisiti. Walau bagaimanapun, jurucakap Istana Kensington memberitahu Mail Online bahawa gaun itu 'dibeli secara persendirian', walaupun tidak jelas siapa yang membuat pembelian itu dan sama ada diskaun telah diberikan. -fotoREUTERS Beberapa ahli fesyen terpukau dengan Markle yang megah memakai pakaian tersebut, memuji pelakon dan aktivis kemanusiaan itu yang berani membuat pilihan yang dianggap sesuai untuk kerabat diraja pada masa depan. "Kate Middleton telah mengitar semula pakaiannya selama bertahun-tahun dan Meghan di sini memakai pakaian sehingga £56,000," tulis seorang pengguna Twitter. "Bolehkah kita luangkan masa satu minit semata-mata untuk 'menatap' pakaian Meghan dalam gambar-gambar baru pertunangannya," tulis seorang pengguna Twitter.