JAKARTA: Sebuah kedai kek di bandar Makassar, Indonesia mencetuskan kontroversi apabila menolak permintaan pelanggan untuk menulis ucapan Hari Natal di atas sebuah kek disebabkan oleh 'prinsip agama'. Kedai kek Chocolicious Indonesia yang terletak di ibu negeri Sulawesi Selatan itu mengeluarkan kenyataan menerusi akaun Instagramnya dengan meminta maaf atas tindakan itu, tetapi berkata bahawa pelanggan diberikan kad ucapan dan 'papan coklat' yang membolehkan mereka menulis ucapan di atasnya. Pelanggan yang tidak dinamakan mahu kedai kek itu menulis "Selamat Hari Natal Keluargaku" di atas kek yang telah dipesannya, menurut media Indonesia. Selepas berita mengenai keengganan kedai kek itu tular, terdapat netizen yang memuji dan mengecam Chocolicious Indonesia di akaun Instragram mereka. Menerusi kenyataan yang dikeluarkan kedai kek itu: "Dengan segala rasa hormat dan rendah diri. Pertama sekali, kami ingin menyatakan rasa kesal yang mendalam. Kami dari Chocolicious Indonesia belum boleh menulis 'Selamat Hari Natal' atau ucapan seumpamanya. "Ini tidak bermakna kami tidak menghormati agama anda. Tapi, ia adalah sesuatu yang terpaksa kami lakukan berdasarkan prinsip agama kami. Gambar yang dimuat naik oleh Chocolicious Indonesia mengundang kontroversi dalam kalangan netizen. Seorang pengguna Instagram, Siwulani meninggalkan komen mengatakan perkara itu harus diberikan perhatian kerana semangat Indonesia dalam tolak ansur beragama sudah tidak seimbang dan kenyataan Chocolicious itu boleh 'mengejutkan singa yang tidur'. Sementara itu, segelintir rakyat Indonesia yang beragama Islam menjadi semakin konservatif dan berhati-hati dalam mengucapkan 'Selamat Hari Natal' atau menyambut perayaan itu. - The Straits Times/Asia News Network