SEORANG suspek pembunuh yang mengelak daripada ditangkap selama 12 tahun dengan berpura-pura bisu didakwa benar-benar hilang kemampuan untuk bercakap, lapor media Cina baru-baru ini. Lelaki terbabit, yang hanya dikenali dengan nama Zheng telah dituduh membunuh bapa saudara isterinya, Cai, dalam satu pertengkaran pada tahun 2005. Semasa pertengkaran itu, Zheng yang ketika itu berusia 33 tahun dikatakan menikam Cai, sebelum melarikan diri dari rumahnya di Hangzhou, Wilayah Zhejiang China tetapi berjaya ditahan pihak berkuasa. Tetapi, suspek kes pembunuhan itu telah melarikan diri, menggunakan nama palsu Wang Gui dan sejak itu berpura-pura menjadi seorang pengemis bisu. Zheng akhirnya menetap di sebuah kampung kecil di Wilayah Anhui, 700 km utara Hangzhou, di mana dia mula bekerja dalam bidang pembinaan, sambil mengekalkan identitinya sebagai seorang yang bisu. Dia juga berkahwin sekali lagi dan mendapat seorang anak, tetapi tidak pernah bercakap dengan mereka, kerana takut rahsia dan identitinya terbongkar. Malang bagi Zheng apabila penyamaran 12 tahun sebagai lelaki bisu itu tidak dapat membantunya apabila polis menjalankan tinjauan isi rumah, awal tahun ini. Dokumen pengenalan diri yang tidak lengkap membuatkan mereka curiga, jadi sampel darahnya dan DNAnya diambil untuk memeriksa identitinya. Ketika itulah rahsia penyamarannya terbongkar bahawa Wang Gui sebenarnya adalah Zheng, suspek pembunuhan yang telah hilang sejak sedekad lalu. Bagaimanapun, tidak lama kemudian polis mengetahui sesuatu yang pelik mengenai suspek pembunuh itu. Walaupun dia telah berpura-pura bisu selama lebih satu dekad, dia kelihatan benar-benar hilang keupayaannya untuk bercakap. Menurut akhbar Zhejiang Daily, lelaki itu tidak dapat bersuara kerana tidak menggunakan vokalnya dalam tempoh masa yang panjang. Zheng hanya berkomunikasi dengan pegawai polis secara bertulis. Ditanya mengapa dia berpura-pura menjadi bisu dalam tempoh masa yang panjang, lelaki itu menulis: "Semakin sedikit saya bercakap, semakin kurang peluang saya buat kesilapan." Tidak jelas sama ada kehilangan upaya Zheng untuk bercakap dapat dipulihkan, tetapi jika berjaya ia tidak benar-benar bermakna kerana dia mungkin berdepan hukuman mati jika disabitkan dengan pembunuhan 12 tahun lalu.