TEL AVIV: Israel merancang untuk membina terowong kereta api bawah tanah di Baitulmaqdis dan menamakan stesen bersebelahan kawasan Haram al-Sharif yang menempatkan Masjid al-Aqsa sempena Donald Trump. Menteri Pengangkutannya, Yisrael Katz memberitahu rancangan itu, kelmarin kononnya sebagai penghargaan kepada presiden Amerika Syarikat (AS) itu kerana mengiktiraf Kota Lama itu sebagai ibu negara Israel pada 6 Disember lalu walaupun berdepan bantahan antarabangsa. Difahamkan, stesen dan terowong yang dijadualkan dibuka tahun depan itu akan menjadi sebahagian daripada projek rangkaian kereta api laju yang menghubungkan bandar Tel Aviv dengan Baitulmaqdis. Dalam perkembangan lain, Knesset meluluskan dana AS$11 juta (RM44.7 juta) untuk membiayai projek penempatan haram di Tebing Barat susulan mesyuarat antara Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu dan kumpulan pemimpin agama Yahudi. Akhbar Haaretz melaporkan pertemuan tersebut bertujuan untuk meraih sokongan pemimpin agama Yahudi selepas Netanyahu kini berdepan siasatan dua kes rasuah. Selain itu, Parlimen Israel turut mengesahkan undang-undang yang menghalang polis mendedahkan maklumat tentang siasatan jenayah kepada umum yang didakwa ada kaitan dengan siasatan sedang dijalankan ke atas Netanyahu.