SINGAPURA: Dua wartawan masing-masing warganegara Malaysia dan Singapura yang dipenjarakan di Myanmar bulan lalu kerana membawa masuk dron ke negara itu tanpa kebenaran akan dibebaskan pada Jumaat. Keputusan tersebut dibuat selepas pertuduhan ke atas mereka ditarik balik, kata Khin Maung Zaw, peguam mewakili mereka kepada The Straits Times. Kedua-duanya, Lau Hon Meng (jurukamera) dan Mok Choy Lin (wartawan) ditahan polis pada 27 Oktober lalu dekat bangunan Parlimen Myanmar di Naypyitaw. Wartawan tempatan, Aung Naing Soe yang menjadi jurubahasa mereka dan seorang pemandu, Hla Tin turut ditahan. Kesemua mereka dijatuhi hukuman penjara dua bulan di bawah undang-undang pesawat zaman penjajah dan menghadapi pertuduhan lain kerana mengimport dron tersebut. Dua wartawan asing itu juga berdepan pertuduhan melakukan kesalahan imigresen. "Keempat-empat mereka amat gembira dengan keputusan itu," kata Khin. Khin berkata dua wartawan asing itu dijangka meninggalkan Myanmar petang ini.