SEORANG gadis Palestin yang menampar seorang tentera Israel dua minggu lalu bakal berhadapan dakwaan melakukan serangan di mahkamah tentera Israel, kata pihak pendakwa raya. Insiden yang berlaku pada 15 Disember di Tebing Barat itu telah dirakam sebelum video tersebut dimuat naik di internet dan tular hingga menarik perhatian kedua-dua pihak Israel dan Palestin. Rakyat Palestin memuji Ahed Tamimi sebagai wira, manakala rakyat Israel pula membahaskan sama ada pegawai itu serta anggota lain yang turut ditendang oleh remaja berusia 16 tahun itu telah melakukan perkara betul apabila memilih untuk tidak menyerang balas. Kejadian itu berlaku di pintu masuk kediaman keluarga Ahed di Nabi Saleh, sebuah perkampungan di Tebing Barat ketika tentera Israel berkata mereka dibaling batu. Pihak tentera dalam satu kenyataan berkata pegawainya bertindak profesional tetapi ahli politik sayap kanan Israel menggambarkan tindakannya itu sebagai memalukan. Tiga hari selepas klip video konfrontasi itu disiarkan di stesen televisyen Israel, Ahed telah ditahan. Pada perbicaraan kelmarin di mahkamah tentera penjara Ofer berhampiran bandar Palestin di Ramallah, pendakwa raya mengatakan mereka berhasrat mendakwa remaja itu atas beberapa tuduhan termasuk serangan dan menghina askar. Dua tahun lalu, Ahed pernah menjadi bahan berita apabila dia dirakam menggigit seorang anggota tentera yang cuba menahan adik lelakinya. – Reuters