NEW YORK: Gara-gara bermain api dapur memasak, seorang budak lelaki dikenal pasti punca insiden kebakaran yang mengorbankan 12 nyawa di pangsapuri Bronx dekat sini. Kejadian pada petang Khamis di bangunan berhampiran Zoo Bronx mengakibatkan empat kanak-kanak antara yang maut. Pesuruhjaya Bomba, Daniel Nigro berkata, budak itu secara tidak sengaja menyalakan api dapur menyebabkan berlaku kebakaran. "Ia berpunca daripada seorang budak lelaki berusia tiga setengah tahun yang bermain dengan dapur memasak. Ibunya tidak menyedari kebakaran bermula dan hanya tersedar selepas budak itu menjerit," katanya. Ibu budak itu kemudian lari keluar dari kediaman mereka di tingkat satu itu bersama dua anaknya, dengan pintu terbuka menyebabkan api mula merebak ke tangga dan seluruh bangunan. "Tangga itu seolah berfungsi seperti cerobong. Api merebak dengan pantas ke tingkat atas menyebabkan kebanyakan mangsa tidak sempat untuk bertindak," kata Nigro. Lima maut di tempat kejadian manakala tujuh lagi meninggal dunia di hospital tempatan. Empat masih kritikal akibat kebakaran yang disifatkan Datuk Bandar, Bill de Blasio sebagai 'tragedi kebakaran terburuk di bandar ini sejak suku abad lalu.' - Reuters