BANGKOK: Dalam usaha memerangi jenayah di Thailand, kerajaan mula mengedarkan 55,150 pistol yang baharu dibeli bagi menangani masalah kekurangan senjata api di kalangan pegawai polisnya. Menurut Timbalan Perdana Menteri Jen Prawit Wongsuwan, yang bertanggungjawab terhadap keselamatan dalam negeri dan polis, kes jenayah bukan sahaja meningkat di Thailand tetapi ia juga datang dalam pelbagai bentuk dan intensitinya adalah teruk. "Keadaan itu menjadikan semakin penting untuk memperlengkapkan polis bagi memerangi jenayah. Dengan 55,150 pistol baharu, saya yakin prestasi polis membanteras jenayah dan melindungi kehidupan dan harta benda orang ramai dapat dipertingkatkan,” katanya seperti dipetik media tempatan baru-baru ini. Prawit yang juga Menteri Pertahanan, mempengerusikan satu majlis penyerahan pistol separa automatik Sig Sauer P320 SP kepada 22 agensi di bawah Polis Diraja Thai (RTP) untuk diagihkan kepada setiap balai polis. Menurut beliau, polis telah lama menghadapi kekurangan pistol, dengan senjata yang dimiliki pegawai polis sudah usang dan ketinggalan zaman, yang meningkatkan risiko ke atas para pegawai polis ketika berdepan penjenayah bersenjata. Berikutan kebimbangan ini, beliau berkata kerajaan meluluskan cadangan pasukan itu bagi memperlengkapkan pegawai mereka dengan senjata baharu dan moden, dengan semua balai polis menerima 60 pistol baharu untuk dikongsi di kalangan semua pegawai. Pistol Sig Sauer itu akan dijual kepada para pegawai di bawah projek “senjata kebajikan” pada harga 23,890 Baht (kira-kira RM3,000). Kos itu jauh lebih murah daripada harga pasaran. Keputusan untuk membekalkan pistol itu adalah bagi memastikan para pegawai dapat memiliki senjata api yang berkualiti. Pegawai polis Thai tidak disediakan dengan pistol namun sebaliknya mereka perlu membeli senjata api yang dibayar melalui potongan gaji mereka. - Bernama