SATU nama baharu diteka untuk anak ketiga Putera William dan Kate Middleton. Sebelum ini, antara nama-nama popular untuk nama anak pasangan diraja Britain itu adalah Alice, Arthur dan Victoria. Pada Isnin, ramai mempertaruhkan nama Mary sebagai pilihan, dengan kira-kira 97 peratus. Ia merupakan nama yang sering digunakan dalam keluarga diraja. Mary juga merupakan salah satu daripada nama penuh pemerintah Britain, Elizabeth Alexandra Mary. Walaupun nama-nama anak perempuan sering disebut-sebut, tetapi orang ramai turut meramalkan anak ketiga William dan Kate adalah lelaki. Bagaimanapun umum tidak lama lagi akan mengetahui nama yang diberikan untuk anak ketiga mereka apabila Kate dijangka bersalin pada April ini. Pasangan diraja itu mempunyai dua anak, masing-masing Putera George Alexander Louis, 5, dan Puteri Charlotte Elizabeth Diana, 3. - Mirror