SEORANG kerani jualan Nigeria telah digantung kerja selepas memberitahu juruaudit bahawa seekor ular telah 'makan' wang berjumlah 36 juta Naira (RM394,235). Kerani berkenaan, Philomena Chieshe, bekerja di sebuah pejabat untuk dewan peperiksaan Nigeria yang mengumpul yuran peperiksaan. Lembaga Kemasukan Bersama dan Matrikulasi, memberitahu BBC bahawa pihaknya telah menolak dakwaan tersebut dan memulakan prosiding tatatertib ke atasnya. Chieshe mendakwa bahawa ular tersebut 'secara rohani' telah menyedut wang bernilai jutaan Naira yang disimpan dalam peti besi pejabat. Insiden itu bagaimanapun telah menjadi 'bahan lawak' oleh warga Nigeria di media sosial. Ada yang membayangkan tentang panjang ular sawa tersebut jika menelan jumlah wang sebanyak itu. Malah, satu akaun Twitter telah dibuka untuk ular itu yang mendakwa ia 'sangat letih' selepas menelan wang yang banyak dan mahu bergembira. Agensi anti-rasuah Nigeria, Suruhanjaya Jenayah Ekonomi dan Kewangan, juga menulis tweet tentang kisah itu. "#TheEagle tidak menunjukkan belas kasihan terhadap ular yang menelan duit."