SEORANG anggota polis wanita di Britain mendakwa dia diraba berulang kali oleh inspektornya yang meminta 'ciuman hari lahir', malah mencadangkan supaya bermalam di sebuah bilik hotel, perkara itu diperdengarkan di tribunal. Lisa Myers, 38, mendakwa Paul Nightingale memegang punggungnya, mencium lehernya dan menyentuh bajunya. Bagaimanapun, mangsa dipindahkan ke pejabat lain selepas membuat aduan berhubung insiden berkenaan. Malah, mangsa kemudian bertindak berhenti daripada pasukan itu. Ibu kepada dua anak itu kini menuntut ganti rugi daripada Paul, yang menafikan melakukan sebarang gangguan seksual. Pada masa kejadian yang didakwa, Paul yang sudah berkahwin, berpangkat sarjan dan bertugas dengan Polis Pengangkutan Britain (BTP) yang berpangkalan di Stesen Liverpool Street Lime, tetapi memangku jawatan inspektor. Menurut keterangan saksi, Lisa memberitahu Paul mula meraba bahu, leher dan rambutnya pada musim panas 2015, selepas mangsa mengadu sakit sekembalinya dari cuti bersalin. Lisa berkata, dia tidak membuat laporan ketika itu kerana bimbang membuat dakwaan terhadap seorang pegawai kanan. Dalam satu insiden semasa mahu menghadiri kursus di London, mangsa mendakwa Paul memberitahu mereka boleh tinggal di hotel yang sama, sambil menggambarkan bahawa mereka boleh berkongsi bilik. "Encik Paul berbisik ke telinga saya semasa kami menjamu selera dan dia memberi komen berbaur lucah dan mahu mengadakan hubungan seks dengan saya," katanya. Pada akhir Mei 2016, dia akhirnya membuat dakwaan mengenai Paul kerana membuat gangguan seksual. Bagaimanapun, Paul tidak digantung tugas dan kekal di pejabat Liverpool. Sebaliknya, Lisa dipindahkan ke pejabat di Southport dan kemudian di Chester. Lisa akhirnya berhenti dari jawatannya di BTP selepas berkhidmat dalam pasukan keselamatan itu selama 12 tahun. "Saya bertugas sebagai anggota polis selama 12 tahun. Tiada niat untuk saya meninggalkan BTP sehingga menderita kerana gangguan seksual yang dibuat oleh Encik Paul. Tindakannya telah merosakkan hidup saya.," katanya. Menurut peguam yang mewakili Lisa: "Anak guam saya kini menuntut ganti rugi daripada Encik Paul berjumlah £25,000 (RM137,134)." BTP mengesahkan Paul meletakkan jawatan pada Januari tahun lalu. - Mail Online