SEORANG jutawan berpakaian seperti seorang gelandangan untuk menguji kebenaran pepatah 'jangan menilai buku dengan kulitnya' terhadap kakitangan restoran. Bintang YouTube, Coby Persin, 23, yang juga jutawan muda yang berpusat di New York menguji seorang kakitangan di restoran di Florida untuk melihat bagaimana tindak balas mereka terhadap pelanggan yang dilihat dari penampilan atau luaran. Dalam video itu, Persin menghampiri sebuah restoran agak mewah, sebelum dia meminta kebenaran untuk duduk daripada lelaki yang menjaga pintu masuk restoran. "Hai kamu apa khabar? Saya nak dapatkan meja untuk saya dan rakan saya Ronaldo, mungkin boleh bagi saya tengok menu?," katanya. Bagaimanapun, pekerja restoran itu tidak membenarkan Persin masuk, menyatakan bahawa dia tidak dapat menawarkan tempat duduk kepada Persin kerana menganggap restoran itu terlalu mahal untuknya. Persin dilihat agak mendesak dalam video itu dan bertanya sama ada terdapat menu yang boleh dilihatnya untuk memastikan ia tidak terlalu mahal. Namun, pekerja itu yang tidak didedahkan nama dan wajahnya tidak mengendahkan desakannya. "Kami tak dapat layan kamu, kami tak akan layan kamu hari ini. Minta maaf," katanya. Persin cuba memberi peluang kepadanya dengan menegaskan bahawa dia mempunyai wang yang cukup untuk makan, tetapi dia hanya menyuruh jutawan itu berlalu dan 'pergi makan di McDonald's'. Persin beredar sedikit, menjarakkan dirinya dengan pekerja itu dan menghubungi pemandunya. Tetapi pekerja itu memintanya keluar dan membuat panggilan di luar kawasan restoran. Tidak lama kemudian pemandunya, Ronaldo tiba di restoran tersebut menaiki kereta Rolls Royce sambil membawa sebuah beg dan diserahkan kepada Persin. Apabila dia membuka beg dan menunjukkan wang tunai dalam beg kepada pekerja berkenaan, Persin berkata: "Saya dah beritahu kamu saya ada duit. Jangan menilai orang hanya dengan penampilan mereka. "Saya boleh saja beli tempat ini supaya saya boleh pecat kamu, kamu bernasib baik," katanya. Lelaki itu jelas nampak malu, sebelum Persin mengajak pemandunya makan steak di sebuah restoran berdekatan. Sama ada video ini sebenarnya adalah satu 'rancangan' dengan pihak restoran atau tidak, tetapi ia masih mendedahkan beberapa perkara menarik mengenai cara kita melihat orang lain dalam masyarakat. Jangan menilai buku dengan kulitnya!