PENONTON menangis dan menjerit sebaik melihat seorang akrobat tersalah percaturan dan tiba-tiba terjatuh ketika sedang beraksi dalam pertunjukan di Tampa, Florida. Insiden itu mengakibatkan akrobat terkenal, Yann Arnaud maut apabila gagal mencapai gegelung selepas melompat dari kedudukan tinggi. Berpengalaman lebih 15 tahun bersama Cirque de Soleil dalam bidang akrobatik, kematian Arnaud mengejutkan ramai. Kejadian yang menimpa akrobat berusia 38 tahun itu menyebabkan pertunjukan pada malam kejadian pada Sabtu lalu dihentikan serta merta. Kematian Arnaud yang berpengalaman luas dalam bidang akrobatik mengejutkan pelbagai pihak. Warga Perancis yang juga bapa kepada dua cahaya mata itu meninggal dunia sebaik tiba di hospital berhampiran. "Arnaud adalah akrobat yang berpengalaman dan kejadian ini mengejutkan kami kerana dia berpengalaman dalam bidang ini. "Ia sesuatu yang amat menyedihkan," kata Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Cirque du Soleil, Daniel Lamarre. Ia kematian ketiga melibatkan akrobat Cirque dalam tempoh 34 tahun dan Lamarre menggambarkan persembahan yang dilakukan Arnaud sesuatu yang selamat. "Kami menawarkan kerjasama dengan pihak berkuasa yang menyiasat kejadian ini," katanya sambil menambah dua pertunjukkan yang dijadualkan berlangsung pada Ahad telah dibatalkan.-SouthChinaMorningPost