DUA juruterbang pesawat tambang murah dikenakan tindakan gantung tugas selepas merakam diri mereka bermain aplikasi Snapchat ketika penerbangan dari Paris ke Madrid, Rabu lalu. Rakaman menunjukkan dua juruterbang syarikat Easyjet menari di tempat duduk masing-masing bersama watak kartun menerusi aplikasi tersebut. Laporan akhbar The Sun mengatakan, rakaman dimuat naik Kapten Michel Castelucci di media sosial. Jurucakap EasyJet berkata, pihaknya memandang serius perkara itu dan kedua-duanya digantung tugas bagi membolehkan siasatan dilakukan. “Kami memandang serius perkara ini dengan menggantung tugas juruterbang berkenaan (mengikut prosedur) sementara menunggu siasatan disiplin,” katanya. Kelakuan mereka itu telah mengundang kemarahan penumpang. Penumpang yang marah memanggil mereka tidak bertanggungjawab dan tindakan itu juga dilihat berbahaya dan tidak profesional. Castellucci, yang kerap ditugaskan untuk penerbangan ke dan dari London, berkongsi rakaman-rakaman tersebut di media sosial dengan kapsyen: "Pegawai pertama yang menari semasa terbang sedang buat kerja kertas. "Dalam video lain yang dikongsi oleh kapten itu, juga semasa penerbangan Paris ke Madrid, seekor burung hantu diletakkan dekat dengan pembantu juruterbang.