suria

Wanita Dibuang Kerja Selepas Bertekak, Ludah Makanan Pelanggan

SEBUAH rakaman mengejutkan tular di Internet menunjukkan seorang pekerja restoran bertindak melampau dengan meludah makanan yang dipesan oleh pelanggannya.

Video itu turut menunjukkan pelanggan dan pekerja itu saling menjerit di sebuah rangkaian restoran makanan segera, Pita Pit di Missoula, Amerika Syarikat.

Suara seorang wanita kedengaran berkata, "saya cabar awak" kepada pekerja yang menyediakan makanannya yang kemudian bertindak meludah sandwich tersebut.

Pelanggan tersebut berang dan cuba mencapai pekerja wanita yang berada di bahagian kaunter makanan restoran itu.

"Saya layan awak dengan baik! Awak seorang perempuan s****l.

"Yeah, sebab sudah pukul 3 pagi dan saya ingin pulang ke rumah," jerit pekerja itu kepada wanita terbabit.

Video itu tular selepas ia dikongsi sebanyak ribuan kali di Facebook sehingga memaksa restoran tersebut membuat permohonan maaf secara terbuka.

ShaeLynn MadPlume yang mula-mula memuat naik video tersebut berkata: "Hanya beberapa pelanggan yang cuba menghidupkan perniagaan mereka!!! Pita Pit (cawangan Missoula tidak tutup sehingga pukul 3 pagi).

"Kami datang pada pukul 2 pagi dan membuat pesanan daripada perempuan yang bersikap perkauman ini yang meludah makanan kami kerana 'mengalami hari yang teruk dan tidak mahu datang bekerja!

"Sebelum itu, dia bertekak dengan kami beberapa saat sebelum kami merakam insiden ini!," tulisnya.

Pemilik restoran itu berasa malu dengan kejadian tersebut dan mendakwa pekerja berkenaan sudah tidak lagi bekerja di syarikat terbabit.

Sebuah kenyataan yang dimuat naik di laman sosial berbunyi: "Saya dan suami membuka Pita Pit Missoula sejak 14 tahun lalu.

"Saya terlihat posting di Facebook dan berasa malu dengan apa yang berlaku kepada kamu di kedai kami.

"Saya tidak tahu apa yang berlaku sebelum dan selepas video ini diambil, tapi jangan dengar spekulasi.

"Saya boleh lihat apa yang berlaku di dalam video dan tiada alasan bagi kelakuan pekerja tersebut dan saya boleh jamin dia tidak lagi bekerja dengan kami.

"Kalau saya dan suami boleh undurkan masa, kami akan lakukannya. Ia tidak mungkin boleh dilakukan. Kami dengan ini ingin memohon maaf secara ikhlas kepada kamu, rakan kamu dan penduduk Missoula," luahnya. - Mirror UK

ludah

Artikel Lain