suria

Terdesak Mahu Ke Kolej AS, Warga China Upah Orang Duduki Ujian

SEORANG wanita warga China mengaku bersalah kerana bertindak mengupah orang menyamar sebagai dirinya ketika menduduki peperiksaan kemasukan ke kolej di Amerika Syarikat (AS).

Menurut laporan mahkamah, Huang Leyi yang juga penuntut Universiti Pennsylvania  menggunakan visa pelajar membuat pengakuan itu di mahkamah persekutuan Boston.

Pihak pendakwa raya berkata, Huang mengupah seorang individu pada Mac 2016 sebagai pengganti dirinya untuk menduduki TOEFL, peperiksaan bahasa Inggeris setelah dia gagal mendapatkan markah minimum dalam ujian itu.

Hakim Daerah AS, Dennis Saylor menjatuhkan hukuman penjara lima tahun setelah Huang, 21, bersetuju untuk diusir dari negara itu.

Dalam pada itu, lambakan warga China kini berlumba untuk menyertai kolej dan universiti di AS kerana tarikan prospek pendidikan dan kerjaya di negara itu.

Laporan Institut Pendidikan Antarabangsa mendedahkan berlaku peningkatan 6.8 peratus (350,755) pelajar China ke AS pada 2016 hingga 2017.

Sementara itu, Huang juga mengaku telah membayar AS$3,000 (RM11,598) kepada individu yang diupahnya.

Individu berkenaan, Wang Yue, pelajar Sekolah Perniagaan Antarabangsa Hult di Universiti Cambridge bukan sahaja menduduki peperiksaan TOEFL untuk Huang malah turut membantu dua pelajar lain.

Susulan itu, keempat-empat mereka iaitu Wang, Huang dan dua lagi pelajar yang terlibat telah ditahan pada Mei tahun lalu.

Seperti Huang, kesemua mereka mengaku bersalah dan dijatuhkan hukuman selepas bersetuju diusir dari negara itu. - Reuters.

Huang Leyi, Boston

Artikel Lain