SEORANG ibu meninggal dunia akibat kanser sehari selepas bersalin dan melangsungkan perkahwinan dengan teman baiknya, Steven di hospital. Tracey Keers terpaksa melahirkan bayi perempuan yang diberi nama Kyla pada minggu ke-28 selepas diserang semula penyakit kanser. Wanita itu dan pasangannya berkahwin di Hospital Universiti James Cook yang terletak di Middlesbrough pada sambutan Good Friday. Mereka turut mempunyai seorang anak lelaki bernama Kieran, 7. Tracey menghembuskan nafas terakhirnya di sisi Steven. Steven, 35, berkata Tracey yang berkerja di Universiti Durham disahkan menghidap kanser payu dara pada 2016. Dia menjalani rawatan kemoterapi dan radioterapi pada Julai 2017. Steven dan Tracey berkahwin di sebuah hospital. "Kami mahukan seorang lagi anak, jadi kami jalani rawatan IVF. "Dia (Tracey) hamil pada September dan kami amat gembira kerana tidak percaya ia akan berlaku," kata Steven. Namun kegembiraan pasangan itu hanya seketika apabila Tracey mula mengalami sakit kepala dan demam yang teruk. Ketika kandungan Tracey memasuki usia 24 minggu, doktor memberitahu bahawa penyakit kansernya menyerang kembali. "Doktor beri dia masa tiga hingga enam bulan tetapi Tracey tidak pernah berputus-asa dan terus berjuang," kata Steven. Namun empat minggu kemudian, Tracey diserang sawan dan doktor memberitahu bahawa Kyla perlu dilahirkan lebih awal. "Doktor beritahu Tracey berkemungkinan besar tidak akan sedarkan diri selepas menjalani pembedahan tetapi keajaiban berlaku. "Tracey bimbang dia tidak boleh melihat anak perempuannya, tapi dia amat kuat. Dia sedarkan diri selepas bersalin secara pembedahan," katanya. Namun, keadaan kesihatan Tracey mula merosot pada Ahad lalu. "Saya menemaninya sepanjang tempoh sukar itu. Dia akhirnya menghembuskan nafas terakhir dengan tenang di sisi saya," kata Steven.