SEORANG lelaki Amerika Syarikat yang digigit oleh seekor jerung di Hawaii baru-baru ini pernah diserang oleh ular orok-orok dan beruang sebelum ini. Dalam tempoh kurang daripada empat tahun, Dylan McWilliams dari Colorado berdepan tiga situasi malang membabitkan haiwan berbahaya. Peluncur ombak berusia 20 tahun itu sedang meluncur di Kauai pada Khamis, ketika seekor jerung harimau yang berukuran enam hingga lapan kaki itu menyerangnya. McWilliams yang juga bekerja sebagai jurulatih telah berenang sejauh jampir 30 meter ke pantai ketika seorang individu yang ternampak akan insiden itu bertindak memanggil pasukan paramedik dengan segera. Kesan gigitan jerung. "Saya tidak tahu jika saya kehilangan separuh kaki atau pun tidak," katanya. Dia bagaimanapun menerima tujuh jahitan di hospital. Tahun lepas, McWilliams terpaksa dikokot sembilan kali di kulit kepala selepas dia diterkam oleh beruang hitam pada kem musim panas di Colorado. Kesan gigitan beruang. McWilliams sedang tidur di luar ketika beruang itu mula menggigit kepalanya. Dia mempertahankan dirinya dengan menumbuk beruang itu dan mencucuk bahagian mata haiwan tersebut, menyebabkan beruang itu melonggarkan cengkamannya. "Saya rasa saya berada di tempat yang salah pada masa yang salah," katanya. Kedua-dua serangan itu belaku selepas dia dipatuk ular orok-orok semasa dalam lawatan pendakian di Utah beberapa tahun sebelumnya. - Sky News