SEORANG Datuk Bandar tiba-tiba popular di negaranya selepas gambar dia bersama pengikutnya sedang memeriksa tapak pembinaan yang didakwa disunting menggunakan perisian 'Photoshop' tular. Gambar tersebut menunjukkan Datuk Bandar Alvorada, José Arno Appolo do Amaral dan timbalannya Valter Slayfer berada di sebuah tapak kapal korek di Alvorada, sebuah bandar di Brazil. Posting asal gambar itu dimuat naik di Facebook rasmi Perbandaran Alvorada, bersama dengan keterangan panjang yang memperincikan tentang lawatan tersebut. Kedua-dua pegawai itu didakwa mengawal sebahagian daripada operasi dan mengisytiharkan diri mereka berpuas hati dengan kerja-kerja hidraulik yang dijalankan. Tidak lama kemudian orang ramai mula curiga dengan foto tersebut, yang menunjukkan Amaral dan Slayfer berdiri dari jauh sambil dilihat memberikan arahan kepada penyelia tapak. Kedudukan dan cara kedua-dua mereka berdiri di atas jalan serta warna gambar mereka berbanding warna persekitaran dilihat ganjil, jadi pengguna Facebook mula berkongsi dan mempersoalkan keasliannya. Apabila foto itu tular dan orang ramai mula membuat suntingan gambar lain dengan memasukkan gambar Amaral dan timbalannya, gambar lawatan itu telah dipadam oleh Perbandaran Alvorada tanpa sebarang penjelasan. Tindakan itu dilihat sedikit terlambat kerana ia telah tular dan keadaan menjadi lebih teruk apabila pihak media mahu mendapatkan kepastian. Ketika dihubungi oleh akhbar tempatan, Correio do Povo, pengarah komunikasi Perbandaran Alvorada, Celso Dornelles, menafikan bahawa gambar itu telah 'diganggu' dengan apa-apa cara, tetapi gagal menerangkan mengapa ia dipadamkan dari laman Facebook rasmi perbandaran itu. Sebaliknya, dia menegaskan bahawa kerja-kerja pengorekan memang telah dilaksanakan, Bagaimanapun, Amaral sendiri ketika dihubungi media mengakui gambar itu kelihatan palsu apabila nampak jelas suntingan dilakukan menggunakan Photoshop. Katanya dia tidak terlibat dalam penciptaan dan penerbitannya dan mungkin ia merupakan 'karya' seorang pekerja pelatih yang sangat bersemangat. Walaupun siasatan dalaman mungkin akan dilancarkan, Datuk Bandar itu berjanji bahawa sesiapa yang bertanggungjawab atas kesalahan ini tidak akan dipecat. Malah, Amaral mungkin akan memberi mereka kenaikan. "Dari sisi yang baik, saya menjadi sangat popular di internet, mungkin saya juga akan menjadi senator tidak lama lagi," katanya sambil bergurau kepada Guachazh Porto Alegre. Amaral kini adalah salah satu meme yang sedang trending di Brazil sekarang, malah mempunyai beberapa laman Facebook yang didedikasikan untuk dirinya dan timbalannya. Ini bukanlah kali pertama kita melihat individu berjawatan menggunakan Photoshop untuk menipu orang ramai. Beberapa tahun lalu, pihak berkuasa di St Petersburg, Rusia, melakukannya sebanyak dua kali dalam tempoh hanya sebulan, untuk menunjukkan bahawa mereka telah membaiki infrastruktur awam walau hakikatnya mereka tidak melakukannya.