MARYLAND: Lebih 14 jam sepasukan pakar bedah memberi tumpuan untuk melakukan pembedahan zakar dan skrotum pertama di dunia. Sepasukan 11 doktor di Amerika Syarikat itu akhirnya berjaya melakukan pemindahan organ berkenaan. Pasukan terdiri daripada 11 pakar bedah di Universiti Johns Hopkins di Baltimore, Maryland membuat prosedur transplan itu ke atas seorang tentera yang cedera akibat letupan bom di Afghanistan pada 26 Mac lalu. Mereka menggunakan zakar, skrotum dan dinding separa perut daripada penderma yang meninggal dunia. Menurut pakar terbabit, testis penderma terbabit bagaimanapun tidak dipindahkan selepas mengambil kira aspek etika. "Beberapa kecederaan perang adalah tersembunyi dan ia memberi kesan kepada identiti, tahap keyakinan diri malah hubungan seksual individu terbabit," kata Ketua Pembedahan Plastik dan Rekonstruktif di Universiti Johns Hopkins, Dr WP Andrew Lee. Sementara itu, tentera yang enggan identitinya didedahkan memberitahu, dia berasa 'normal' kembali dan semakin baik. - BBC