suria

Lelaki belasah, paksa kekasih berlumuran darah lempang muka di FB Live

-foto Queen of Black Spades/FB

SEORANG lelaki bertindak mendera teman wanitanya yang berusia 21 tahun di Facebook Live dalam kejadian pada Isnin.

Video itu telah membuatkan pengguna media sosial berasa terganggu dan mereka kemudian menghubungi pihak berkuasa untuk campur tangan bagi menyelamatkan wanita muda tersebut.

Susulan video Chaichana Sirichart, 25, memaksa teman wanitanya yang sudah dalam keadaan berlumuran darah menampar wajahnya sendiri, polis mengenal pasti sebuah kondominium di kawasan Nawamin, Thailand sebagai lokasi kejadian dan menyelamatkan wanita itu kira-kira pukul 7 petang.

Dalam sebahagian daripada video yang dikeluarkan kepada media tempatan, Sirichart menunjukkan teman wanitanya yang cedera ke arah kamera dan berkata: "Kamu tak tahu saya bagaimana. Ini adalah pengakhiran kesakitan saya ... Sudah empat bulan!"


-foto Queen of Black Spades/FB
 
Apabila pihak berkuasa tiba di kondo itu, Sirichart enggan membuka pintu, tetapi akhirnya membiarkan seorang penyelamat masuk ke bilik untuk memberikan bantuan kecemasan kepada teman wanitanya.

Polis mengambil masa dua jam untuk mengakses bilik dan menyelamatkan mangsa.

Songwut Somjantuek, penyelamat yang secara sukarela masuk ke dalam bilik itu berkata Sirichart menuduh teman wanitanya mempunyai hubungan sulit.

"Dia mahu membawa sendiri wanita berkenaan ke hospital tetapi dia tidak mahu berdepan orang ramai di luar. Saya cuba berunding, dan akhirnya dia membuka pintu dan terpaksa akur dia akan ditangkap," kata Somjantuek.

Dia menggambarkan wanita itu sebagai cedera teruk dengan luka di kepala dan tangannya.

Darah kering di mukanya menunjukkan dia mungkin telah dikasari sekurang-kurangnya beberapa jam sebelum ditahan, lapor Morning News.

Gambar-gambar yang dirakam di tempat kejadian juga menunjukkan kesan darah kering di dinding.

Chaichana Sirichart bersama teman wanitanya dalam gambar yang dimuat naik di FB.

Dalam klip yang menunjukkan penangkapan Sirichart, dia seolah-olah kecewa, rebah di lantai di luar biliknya ketika polis cuba menenangkannya.

Menurut polis, Sirichart mengakui memukul teman wanitanya dengan batang penyapu dan pengering rambut, walaupun dia mengubah ceritanya lebih daripada sekali, kesan daripada dirinya yang berada di bawah pengaruh dadah, lapor Spring News.

Jurucakap polis Wirachai Songmetta menyatakan bahawa Sirichart diuji positif dadah.

Mangsa masih dirawat di hospital, dan Sirichart kini berada dalam tahanan polis.

Lelaki berusia 25 tahun itu didakwa melakukan penculikan, menyebabkan kecederaan, menggunakan dadah kategori satu dan meletakkan data ke dalam sistem komputer yang mencemarkan atau menghina orang lain.

cemburu, FB live

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain