suria

Muka 'rosak' dikerjakan rakan akauntan

SEORANG wanita dikejarkan ke unit kecemasan awal bulan ini, setelah mukanya disuntik dengan bahan yang tidak dapat dikenal pasti oleh seorang rakannya.

Elizaveta Tkachenko, 30, dari Rusia yang menetap di Stavropol, memutuskan untuk menyerlahkan ciri-ciri tertentu pada wajahnya dengan bantuan suntikan kosmetik, tetapi tidak bertemu ahli estetika terlatih, sebaliknya meminta rakannya, Irina, seorang akauntan, melakukan prosedur itu di rumah untuk kos yang lebih murah.

Tvachenko, yang menyesal dengan keputusannya, mendakwa rakannya memberi jaminan bahawa dia hanya menggunakan bahan berkualiti dan peralatan yang disteril selain mendakwa mempunyai banyak pengalaman dalam bidang ini.

Bibir dan bahagian berhampiran mata wanita itu telah disuntik dengan kandungan yang tidak diketahui jenis dan kadarnya.

Walaupun beberapa kesan bengkak dianggap normal selepas prosedur tersebut, dalam kes Tkachenko ia dianggap sangat melampau kerana dia sukar bernafas, kepalanya sakit teruk dan bibirnya kelihatan seperti mahu pecah.

Sehari selepas suntikan itu disedari gagal, dia terpaksa dibawa ke hospital.

"Bibir saya pecah di dua tempat, kepala saya sangat sakit," kata Tvachenko kepada NTV.ru.

"Saya berusia 30 tahun, kerana apa yang berlaku, kesihatan saya terjejas. Tidak jelas apa yang berlaku selepas ini."

Rakannya telah disoal siasat oleh polis Stavropol dan kes jenayah telah dibuka terhadapnya.

Dia tidak mampu menjawab apa sebenarnya yang disuntik ke wajah Tvachenko, tetapi jelas apa pun bahannya, ia telah menyebabkan keradangan ekstrem dan potensi kerosakan yang tidak boleh disembuhkan.

Laporan yang difailkan oleh penyiasat menyebut bahawa Irina tidak mempunyai pengetahuan dasar tentang ubat-ubatan dan tidak sesuai untuk melakukan suntikan kosmetik seperti ini.

Tvachenko telah dibenarkan keluar dari hospital, tetapi wajahnya masih menunjukkan kesan.

Dia memberitahu wartawan bahawa dia tidak sanggup melihat dirinya sendiri di cermin, tetapi berfikir mengenai apa yang telah dilalui, dia bernasib baik kerana masih hidup.

Tidak jelas bila atau wajahnya akan kembali normal.

suntikan kosmetik, ahli estetika

Artikel Lain