DUA lelaki pro Pakistan Kashmir ditahan kerana menggodam lebih 500 laman web India termasuk milik kerajaan. Polis Delhi memaklumkan, suspek yang ditahan di Punjab dikenali sebagai Shahid Malla dan Adil Hussain Teli. Shahid adalah pelajar kolej di Punjab Rajpura, manakala Adil pula pelajar sebuah institut di Jalandhar. "Kedua-dua suspek ditahan pada Jumaat apabila sepasukan anggota siber polis Delhi menyerbu kediaman mereka di Punjab selepas mendapat maklumat mengenai mereka," kata pegawai kanan polis unit siber. Siasatan yang dijalankan mendapati, kegiatan dalam talian suspek menggodam laman web dikenali sebagai "Team Hackers Third Eye". "Suspek juga terlibat mempengaruhi golongan belia Kashmiri supaya mengingkari larangan penggunaan VPN pada April dan Mei 2017. "Mereka juga berhubung secara berterusan dengan beberapa penggodam Pakistan ketika melakukan kegiatan itu dan berkongsi maklumat laman web kerajaan dengan kumpulan itu," katanya. Selain itu, suspek juga dipercayai bekerjasama dengna agensi risikan Pakistan. Ketika kediaman mereka diserbu, polis merampas komputer riba, telefon bimbit, kad SIM, peranti memori dan beberapa peralatan lain. "Polis sedang menyiasat bagi mengetahui perancangan mereka," katanya.-IndiaToday