RITUAL berjalan atas bara arang ketika sambutan festival di India bertukar tragedi apabila seorang sami melecur 60 peratus di bahagian badannya. Vijay Kumar, 35, sedang berjalan di atas laluan arang panas sebelum dia gagal mengimbangi badannya lalu terjatuh. Dua sami yang sedang menunggu di penghujung laluan arang berkenaan terpaksa melompat ke kawasan itu untuk menyelamatkannya. Selain Vijay, dua penyelamat itu turut mengalami kecederaan dengan luka melecur antara 15 hingga 20 peratus. Ketiga-tiga mereka dibawa ke Hospital Kolej Perubatan St John di Bengaluru. Kejadian pada 28 April itu berlaku di kuil Sri Revanasiddeshwara, daerah Ramanagara di Karnataka. Laluan arang yang digunakan untuk ritual itu mula dinyalakan sehari sebelum festival. Kuil itu terletak di atas bukit berketinggian 3,000 kaki dari paras laut dan dianggap suci oleh pengikut Shaiva.-metro.uk