SEORANG penyokong setia pasukan bola sepak Turki, Denizlispor baru-baru ini menjadi tajuk berita antarabangsa gara-gara menyewa kren semata-mata mahu menyaksikan pasukannya bermain dalam perlawanan liga di stadium. Ali Demirkaya, 37, atau lebih dikenali sebagai Amigo Ali terkenal sebagai salah seorang penyokong Denizlispor paling fanatik dan pada hujung minggu ini dia sekali lagi membuktikan kecintaannya kepada kelab itu dengan berada di tempat paling tinggi hanya untuk melihat pasukan kegemarannya menentang Gaziantepspor. Berikutan pembabitannya dalam satu insiden yang berlaku dalam salah satu perlawanan melibatkan Denizlispor pada 2015, Demirkaya, pada 2017, diharamkan memasuki stadium kelab itu selama satu tahun. Bagaimanapun, dia sering membantah keputusan itu dan berikrar larangan itu tidak akan menghalangnya daripada terus bersorak memberi semangat kepada pemain pasukan tersebut. Minggu lalu, dia akhirnya memenuhi janjinya. Amigo Ali berpendapat hanya kerana tidak dapat masuk ke stadium tidak bermakna dia tidak dapat menyokong pasukannya, jadi dia menghabiskan beberapa ratus dolar untuk mendapatkan sebuah kren perindustrian, berdiri dalam ruang pekerja dan meminta operator mengangkat kren itu ke atas stadium, supaya dia dapat menonton permainan dan mengibarkan bendera Denizlispor yang berwarna hijau dan hitam. -foto Haber Foto dan video dia bersorak untuk pasukan itu sambil melambai tangannya dari dalam kren yang tinggi sehingga menarik perhatian penyokong lain di dalam stadium tular dan dilaporkan media Turki dan Eropah. Malangnya, tumpuan kepada Amigo Ali tidak bertahan lama kerana polis tiba di tempat kejadian dan meminta operator kren menurunkan peminat fanatik bola sepak itu. Tidak jelas sama ada dia didenda kerana aksi itu atau tidak, tetapi yang pasti dia telah berjaya membuktikan larangan masuk ke stadium tidak akan menjauhkan dirinya dengan kelab kegemarannya itu. Menariknya, ini bukan kali pertama Demirkaya menyewa kren untuk memintas larangannya. Dia telah melakukan perkara yang sama pada Februari dan polis terpaksa menurunkannya kerana dia menarik perhatian ramai. Pada masa itu, dia memberitahu laman web peminat Denizlispor20 bahawa dia juga sedang mempertimbangkan untuk menyewa belon atau paraglider, jadi dia dapat menonton perlawanan pasukannya dari atas supaya polis tidak mengganggunya.