MOSCOW: Seorang remaja lelaki di Rusia sanggup mengadai nyawa dengan melakukan aksi bahaya semata-mata demi mendapatkan 'like' di media sosial. Alexey Derbilov, 19, dirakam melompat ke atas landasan kereta api lalu berbaring di dalam lubang keselamatan sebelum sebuah kereta api yang meluncur laju tiba di stesen metro Vistavochnaya, Moscow. Derbilov dilihat sempat melindungi kepalanya menggunakan kedua belah tangan ketika berbaring di landasan sambil menunggu kereta api selesai menurunkan penumpang. Sementara itu, rakan Derbilov yang merakam insiden itu sempat berpesan kepadanya supaya jangan bergerak sehingga kereta api berlalu pergi. Sebaik bangun daripada landasan, seorang pekerja stesen yang terlihat Derbilov memarahinya kerana menyifatkan perbuatan tersebut membahayakan keselamatan. Namun Derbilov berbohong dengan mengatakan dia terjatuh di atas landasan. Bagaimanapun, Derbilov akhirnya ditahan polis setelah rakannya memuat naik video tersebut di laman sosial keesokan harinya. "Saya melakukan aksi tersebut untuk mendapat banyak like dan meraih perhatian di laman sosial," ujar Derbilov. Dia bagaimanapun melahirkan rasa kesal setelah menyedari aksi 'bodoh' itu bukan sahaja membahayakan nyawa diri sendiri tetapi juga nyawa penumpang lain. Derbilov kini berdepan perbicaraan apabila pihak polis mendapati banyak lagi video yang dimuat naik ke laman sosialnya menyalahi undang-undang negara. - Dailymail